Rabu, 5 Mei 2010

Situasi Semasa Influenza A (H1N1) 05 Mei 2010

Sehingga jam 8:00 pagi pada 5 Mei 2010, Kementerian telah menerima lapan (8) laporan kejadian kluster ILI daripada lima (5) negeri seperti di ‘Lampiran 1’.

Sementara itu, sehingga jam 5:30 petang 4 Mei 2010, sejumlah 39 kes disahkan influenza A(H1N1) dilaporkan menjadikan jumlah terkumpul kes adalah 13,832. Jumlah kes ILI yang masih dirawat di dalam wad di seluruh negara adalah sebanyak 538 kes. Daripada jumlah tersebut, 46 kes (8.6%) telah disahkan positif influenza A(H1N1). Bilangan yang dirawat di ICU adalah enam (6) kes dimana empat (4) daripadanya mempunyai faktor-faktor risiko.

Kementerian Kesihatan telah menerima satu (1) laporan kematian H1N1 pada hari ini yang disebabkan jangkitan virus influenza A(H1N1). Ini menjadikan jumlah terkumpul kematian H1N1 sehingga hari ini 82 orang.

Satu kematian yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

Seorang lelaki berumur 40 tahun tanpa sebarang faktor risiko telah mengalami gejala demam dan batuk selama 6 hari sebelum dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada 27 April 2010. Beliau yang dirawat di Unit Rawatan Rapi, mengalami masalah pernafasan akibat pneumonia yang teruk dan meninggal dunia pada 1 Mei 2010. Hasil perbincangan pakar-pakar telah mengesahkan bahawa penyebab kematian ialah akibat jangkitan virus influenza A(H1N1).

Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan masyarakat bahawa penularan jangkitan Influenza A(H1N1) terus aktif di dalam komuniti. Mereka yang mengalami gejala ILI hendaklah bersegera mendapatkan pemeriksaan perubatan di klinik-klinik berhampiran. Rawatan awal penting bagi mengelakkan berlakunya komplikasi dan kematian.

Masyarakat, pelajar di semua institusi seluruh negara, majikan serta pekerja juga digesa agar terus berwaspada dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan H1N1 dihebahkan sebelum ini yang telahpun terbukti berkesan. Masyarakat serta majikan juga boleh membantu dengan melaporkan segera kejadian kluster ILI ke Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran.

Kementerian Kesihatan juga ingin menggesa orang awam yang mempunyai faktor risiko seperti asma, diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit buah pinggang, penyakit jantung, penyakit paru-paru, ibu mengandung dan kegemukan (morbid obesity), supaya segera mendapatkan pelalian vaksin H1N1 di 104 fasiliti Kementerian seluruh negara. Hasil pemantauan pemberian vaksinasi oleh Kementerian Kesihatan mendapati vaksin ini adalah selamat tanpa sebarang kesan sampingan yang serius. Maklumat lanjut berkenaan influenza A(H1N1) boleh didapati dengan melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan di http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline Kementerian Kesihatan di talian 03-8881 0200 / 0300.

Sekian dan terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 05 Mei 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan