Selasa, 13 April 2010

Situasi Semasa Influenza A (H1N1) 12 April 2010

Sehingga jam 8.00 pagi pada 12 April 2010, Kementerian telah menerima sejumlah empat (4) laporan kejadian kluster ILI daripada tiga (3) buah negeri seperti berikut:

1. Johor (2)

  • Sebuah rumah kediaman di Taman Johor, Johor Bharu, melibatkan 3 sekeluarga yang telah dimasukkan ke hospital.
  • Satu rumah kediaman di Gelang Patah, Johor Bharu, melibatkan 3 adik-beradik yang telah dimasukkan ke hospital.

2. Pahang (1)

  • Penjara Penor, Kuantan melibatkan 21 orang (20 banduan, 1 kakitangan). Kesemua banduan telah diberi rawatan dan ditempatkan di bilik-bilik isolasi dan diawasi oleh pasukan perubatan penjara serta diasingkan daripada banduan yang lain. Kakitangan penjara telah diberi rawatan pesakit luar.

3. Melaka (1)

  • Sebuah rumah kediaman di Taman Bemban Utama, Jasin, melibatkan 2 orang adik-beradik yang dirawat di hospital, di mana seorang telah didapati positif H1N1 dan telah didiscaj.

Keputusan ujian makmal bagi kluster-kluster di Johor dan Pahang masih belum diterima.

Sehingga jam 8.30 malam, 11 April 2010, jumlah terkumpul kes ILI yang masih dirawat di dalam wad di seluruh negara adalah sebanyak 677 kes. Daripada jumlah tersebut, 58 kes (8.6%) telah disahkan positif H1N1 manakala empat (4) kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiada laporan kematian yang diterima semalam.

Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan bahawa penularan jangkitan Influenza A(H1N1) terus aktif di dalam komuniti terutamanya di tempat yang sesak. Oleh itu, masyarakat diminta agar terus sentiasa mengamalkan cara hidup sihat dan kebersihan diri, mendapatkan rawatan awal dan tidak mengabaikan langkah-langkah pencegahan Influenza A(H1N1) yang telah diumumkan sebelum ini.

Kementerian Kesihatan juga menggalakkan mereka yang mempunyai faktor-faktor risiko seperti ibu hamil serta menghidap penyakit seperti diabetes, asma, buah pinggang, jantung dan lain-lain supaya segera mendapatkan suntikan vaksin H1N1 di fasiliti kesihatan yang berhampiran. Pemberian vaksin ini adalah percuma tetapi terhad dan berdasarkan kepada prinsip ‘siapa cepat, dia dapat’. Senarai 104 buah fasiliti kesihatan di seluruh negara yang memberikan perkhidmatan ini boleh diperolehi di laman sesawang http://h1n1.moh.gov.my

Sekian dan terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

12 April 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan