Rabu, 14 April 2010

Situasi Semasa Influenza A (H1N1) 14 April 2010

Sehingga jam 8.00 pagi pada 14 April 2010, Kementerian telah menerima sejumlah tujuh (7) laporan kejadian kluster ILI daripada lima (5) buah negeri seperti berikut:

1. Johor (3)

  • SK Parit Maimon, Batu Pahat melibatkan 4 orang yang dirawat sebagai pesakit luar.
  • MRSM Parit Sulong melibatkan 4 orang pelajar yang dirawat sebagai pesakit luar.
  • SM Teknik Batu Pahat melibatkan 1 pelajar dengan gejala ILI yang telah diberi rawatan pesakit luar. (Pada masa yang sama, terdapat 7 pelajar dengan gejala URTI).

2. Pahang (1)

  • PLKN Pinggiran Pelangi Muadzam Shah, Rompin melibatkan 39 orang pelatih dan kesemuanya dirawat sebagai pesakit luar dan di isolasi di asrama berasingan.

3. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1)

  • SK Bukit Damansara, Kuala Lumpur melibatkan 10 orang murid dan 6 didapati positif influenza A(H1N1). Hanya seorang dimasukkan ke hospital dan selebihnya dirawat sebagai pesakit luar. Kesemua kes adalah stabil.

4. Melaka (1)

  • SBP Integrasi Selandar, Jasin melibatkan 4 orang pelajar yang telah menerima rawatan sebagai pesakit luar.

5. Negeri Sembilan (1)

  • Kolej Tunku Kurshiah, Seremban melibatkan 13 orang pelajar yang telah menerima rawatan sebagai pesakit luar dan diisolasi di sickbay.

Selain daripada kluster yang tersebut di Kuala Lumpur, keputusan ujian makmal bagi kluster-kluster lain di atas belum diterima.

Sementara itu, sehingga jam 5:30 petang 13 April 2010, jumlah terkumpul kes ILI yang masih dirawat di dalam wad di seluruh negara adalah sebanyak 529 kes. Daripada jumlah tersebut, 58 kes (11.0%) telah disahkan positif influenza A(H1N1), manakala enam (6) kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Memandangkan kini terdapat beberapa laporan kluster ILI yang melibatkan sekolah dan institusi, pihak Kementerian ingin memohon kerjasama daripada para ibubapa/penjaga dan pihak sekolah/institusi supaya mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut:

  • Para ibubapa/penjaga dinasihatkan supaya memastikan anak mereka yang mempunyai gejala ILI mendapatkan rawatan segera dan tidak hadir ke sekolah.
  • Pihak pengurusan sekolah/institusi diminta membuat pemerhatian dan pemantauan kesihatan pelajar setiap hari serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut garis panduan yang telah dikeluarkan sebelum ini.
  • Pihak asrama sekolah/institusi dipohon supaya menyediakan kemudahan isolasi untuk kes-kes ILI. Semua kes-kes ILI perlu diisolasi sehingga simptom berakhir.

Orang awam diminta supaya terus berwaspada dan sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang disarankan sebelum ini. Kementerian juga ingin menasihatkan orang dewasa yang mempunyai faktor risiko seperti ibu mengandung, penyakit kronik seperti diabetes, penyakit buah pinggang, asma dan mereka yang obes supaya segera mendapatkan pelalian A(H1N1) di 104 fasiliti Kementerian Kesihatan di seluruh Negara. Maklumat lanjut berkenaan influenza A(H1N1) boleh didapati dengan melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan di http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline Kementerian Kesihatan di talian 03-88810200/0300.

Sekian dan terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 14 April 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan