Sabtu, 10 April 2010

Situasi Semasa Pandemik H1N1 di Malaysia 2010 Sehingga 10 April 2010

Sehingga jam 8.00 pagi pada 10 April 2010, Kementerian telah menerima sejumlah empat (4) laporan kejadian kluster ILI daripada dua (2) buah negeri seperti berikut:

1. Johor (3)

  • SM Dato’ Syed Esa, Batu Pahat, Johor melibatkan 2 orang pelajar. Seorang telah dirawat di hospital serta telah dibenarkan pulang, sementara seorang lagi dirawat sebagai pesakit luar.
  • Satu keluarga dari Taman Puteri, Kluang, Johor melibatkan 6 kes, di mana 4 dirawat sebagai pesakit luar, sementara 2 dirawat di hospital.
  • Lokap Balai Polis Segamat, Johor melibatkan 3 kes di kalangan tahanan PATI di mana seorang dimasukkan ke hospital manakala selebihnya menerima rawatan pesakit luar.

2. Perlis (1)

  • PLKN Tasik Meranti, Perlis melibatkan 3 pelatih di mana ketiga-tiganya dimasukkan ke hospital.

Keputusan ujian makmal bagi kluster-kluster tersebut masih belum diterima.

Sementara itu, sehingga jam 5.30 petang 9 April 2010, jumlah terkumpul kes ILI yang masih dirawat di dalam wad di seluruh negara adalah sebanyak 617 kes. Daripada jumlah tersebut, 62 kes (10%) telah disahkan positif influenza A(H1N1) manakala tujuh (7) kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiada laporan kematian yang diterima semalam.

Kementerian Kesihatan ingin menegaskan bahawa penularan jangkitan Influenza A(H1N1) terus aktif di dalam komuniti. Oleh itu, masyarakat diseru agar terus memberikan kerjasama serta mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang disarankan bagi membendung penularan jangkitan penyakit ini. Orang awam yang mempunyai faktor risiko seperti ibu hamil, menghidapi penyakit kronik seperti asma, diabetes, buah pinggang, jantung dan lain-lain, disaran supaya segera mendapatkan pelalian vaksin A(H1N1) di 104 fasiliti Kementerian seluruh Negara. Maklumat lanjut berkenaan influenza A(H1N1) boleh didapati dengan melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan di http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline Kementerian Kesihatan di talian 03-88810200/0300.

Sekian dan terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 10 April 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan